Sunday, August 1, 2010

1 - Berhati-hati fahaman khawarij

Khawarij Moden[1]

Oleh : Dr Azwira Abdul Aziz ,Jabatan Pengajian Al-Quran & As-Sunnah, Fakulti Pengajian Islam, UKM, Bangi

Pendahuluan
Berdasarkan nas-nas syarac dan fakta-fakta sejarah, Khawarij dianggap sebagai kumpulan sesat yang terkeluar daripada kelompok Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah disebabkan ideologi dan tindakan mereka yang menyimpang dari ajaran Islam yang sebenar. Meskipun pada zahirnya mereka nampak sangat beriltizam dengan ajaran agama, namun hakikatnya mereka telah terkeluar dari Islam melalui lidah Nabi s.a.w. sendiri. Bahkan baginda menyatakan kesungguhan untuk memerangi dan menghapuskan mereka seluruhnya serta menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T bagi sesiapa yang memerangi mereka

[1] Kertas dibentangkan dalam Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, anjuran INTIS Consultant & Training di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

Juga edisi PDF di sini

. Ulama firaq telah menggunakan beberapa istilah tertentu seperti al-Muhakkimah [2], ash-Shurah[3], al-Haruriyyah[4] , al-Harariyyah[5], an-Nawasib[6] dan al-Mariqah[7] sebagai gelaran bagi puak khawarij yang memang ada signifikasinya tersendiri[8] . Gelaran khawarij moden bukan dilihat dari segi persamaan nama dan gelaran, kerana dalam konteks semasa tiada sesiapa lagi yang memakai gelaran-gelaran khawarij lampau. Tetapi apa yang dilihat sebenarnya ialah persamaan ideologi dan ciri antara kelompok-kelompok umat Islam semasa dengan puak khawarij terdahulu. Justeru, untuk mengetahui kelompok manakah yang menyamai puak khawarij serta layak untuk ‘ditabalkan’ sebagai khawarij moden, maka perlu difahami terlebih dahulu apakah definisi, ideologi dan ciri golongan khawarij itu.



Definisi



Perkataan khawarij dari segi bahasa adalah kata jamak bagi kharij, bermaksud ‘yang keluar’, manakala dari segi istilah ia ditakrifkan sebagai: golongan yang melucutkan ketaatan dan mengisytiharkan penentangan terhadap khalifah yang sah [9]. Dari segi sejarah, nama khawarij dikhususkan kepada kumpulan terawal yang melucutkan ketaatan terhadap Khalifah cAli Ibn Abi Talib r.a[10]. Para fuqaha Islam menamakan golongan penentang khalifah yang ada kekuatan pengikut sebagai bughah[11]. cAbd Al-Qahir al-Baghdadi (M 429 H) membahagikan mereka kepada 20 puak [12], namun, secara umumnya hanya enam puak sahaja yang dilihat sebagai puak utama, iaitu: al-Muhakkimah al-Ula, al-Azariqah, an-Najdat, as-Sufriyyah, al-cAjaridah, al-Ibadiyyah dan ath-Thacalibah, daripada enam puak inilah terpecahnya pelbagai cabang puak khawarij yang lain [13].



Hadith Berkenaan Khawarij



Golongan khawarij diberi perhatian serius dalam pengajian aqidah Islam kerana banyak hadith Nabi s.a.w. yang berstatus mutawatir telah mengisyaratkan tentang ancaman dan bahaya kesesatan mereka. Boleh dikatakan semua pembuku hadith ada meriwayatkan hadith tentang mereka, cuma yang berbeza hanyalah pada panjang pendeknya. Kata Abu Sacid al-Khudriyy r.a.:



بعث علي رضي الله عنه وهو ظاهرا من اليمن بذهبة في أديم مقروظ لم تحصل من ترابها إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم فقسمها رسول الله صلى الله عليه وسلم بين أربعة نفر الأقرع بن حابس الحنظلي وعيينة بن بدر الفزاري وعلقمة بن علاثة العامري وزيد الخير الطائي، فغضبت قريش فقالوا أيعطي صناديد نجد ويدعنا كنا نحن أحق بهذا من هؤلاء. فبلغ ذلك النبي صلى الله عليه وسلم فقال: ألا تأمنوني وأنا أمين من في السماء يأتيني خبر السماء صباحا ومساء إني إنما فعلت ذلك لأتألفهم. فقام رجل من بني تميم ذو الخويصرة كث اللحية مشرف الوجنتين غائر العينين ناتىء الجبين محلوق الرأس مشمر الإزار فقال اتق الله يا محمد! فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ويلك أو لست أحق أهل الأرض أن يتقي الله فمن يطع الله إن عصيته أيأمنني على أهل الأرض ولا تأمنوني ومن يعدل إن لم أعدل قد خبت وخسرت إن لم أعدل؟ ثم أدبر الرجل فقال عمر بن الخطاب (أو خالد بن الوليد): يا رسول الله ألا أضرب عنقه؟ فقال: لا لعله أن يكون يصلي، معاذ الله أن يتحدث الناس أني أقتل أصحابي. قال: وكم من مصل يقول بلسانه ما ليس في قلبه. فقال: إني لم أومر أن أنقب عن قلوب الناس ولا أشق بطونهم. ثم نظر إليه وهو مقف فقال رسول الله صلى الله عليه وسلم: إنه يخرج من ضئضيء هذا قوم أحداث الأسنان سفهاء الأحلام يقولون من خير قول البرية ليس قراءتكم إلى قراءتهم بشيء ولا صلاتكم إلى صلاتهم بشيء ولا صيامكم إلى صيامهم بشيء تحقرون صلاتكم مع صلاتهم يقرأون القرآن يحسبون أنه لهم وهو عليهم يقرأون القرآن لينا رطبا لا يجاوز حناجرهم يقتلون أهل الإسلام ويدعون أهل الأوثان يمرقون من الإسلام كما يمرق السهم من الرمية ينظر إلى نصله ورصافه ونضِيّه وقُذذه فلا يوجد فيه شيء، سبَق الفرْثَ والدّمَ، لئن أدركتهم لأقتلنهم قتل عاد فإذا لقيتموهم فاقتلوهم فإن في قتلهم أجرا لمن قتلهم عند الله يوم القيامة، آية ذلك فيهم رجل أسود مـُخْدَج اليد ليس له ذراع على رأس عضده مثل ثدي المرأة أو مثل البضعة تدردر عليه شعرات بيض، سيماهم التحليق هم من شر الخلق يقتلهم أدنى الطائفتين إلى الحق، يخرجون على حين فرقة من الناس. قال علي: لو لا أن تَبْطَروا لحدّثتكم بما وعد الله الذين يقتلونهم على لسان محمد صلى الله عليه وسلم. قال أبو سعيد: فأشهد أني سمعت هذا من رسول الله صلى الله عليه وسلم وأشهد أن علي بن أبي طالب رضي الله عنه قاتلهم وأنا معه فأمر بذلك الرجل فالتمس فوجد فأتي به حتى نظرت إليه على نعت رسول الله صلى الله عليه وسلم الذي نعت".



Maksudnya: “cAli r.a. telah menghantar ketulan emas yang belum dibersihkan dari tanah, hasil kemenanganya dari Yaman kepada Rasulullah s.a.w. lalu baginda membahagikannya kepada al-Aqrac Ibn Habis al-Hanzaliyy, cUyainah Ibn Badr al-Fazariyy, cAlqamah Ibn cUlathah al-cAmiriyy dan Zaid at-Taiyy. Tetapi pembahagian itu telah membangkitkan kemarahan Quraisy kerana mereka menganggap baginda s.a.w. lebih mengutamakan pembesar-pembesar Najd daripada mereka. Mengetahui hal itu, Baginda s.a.w. menegur mereka: “Kenapa kamu tidak mempercayai kejujuranku, sedangkan aku adalah pemegang amanah (agama) bagi pihak langit, wahyu datang kepadaku pagi dan petang, sesungguhnya hanya sanya aku lakukan itu untuk menjinakkan (hati) mereka. Tiba-tiba bangun seorang lelaki dari Bani Tamim yang dikenali sebagai Zu al-Khuwaisirah, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol, berkepala botak, berkain singkat, seraya berkata: “Bertaqwalah kamu kepada Allah wahai Muhammad!’. Lalu Rasulullah s.a.w. menjawab: “Celakalah kamu! Bukankah aku orang yang paling berhak untuk bertaqwa? Siapakah lagi yang taat kepada Allah jika aku menderhakaiNya? Kenapa Dia boleh mempercayaiku atas sekelian penduduk bumi sedangkan kamu tidak percaya kepadaku, siapakah lagi yang adil jika aku tidak adil, sesungguhnya rugilah aku jika aku tidak berlaku adil? Kemudian lelaki itupun beredar dan Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Izinkan aku memenggal lehernya”. Baginda s.a.w. menjawab: “Jangan, boleh jadi dia bersolat, minta dilindungi Allah daripada orang bercakap-cakap bahawa aku telah membunuh sahabatku, biarkan dia kerana dia ada pengikut”. Umar (atau Khalid Ibn al-Walid) r.a. berkata: “Berapa ramai orang bersolat tetapi dia bercakap apa yang tidak dicakap oleh hatinya? Baginda s.a.w. menjawab: “Sesungguhnya aku tidak diperintahkan untuk membelah perut manusia dan menebuk hati mereka. Kemudian baginda s.a.w. memandang kepada lelaki yang sedang beredar itu seraya bersabda; “Sesungguhnya akan lahir dari keturunan lelaki ini golongan yang berumur muda dan berakal pendek, mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya), bacaan quran, solat dan puasa kamu tidak setanding bacaan, solat dan puasa mereka, kamu akan rasa solat kamu lekeh berbanding solat mereka, mereka sangka quran yang mereka baca adalah hujah untuk mereka tetapi sebaliknya ia adalah hujah ke atas mereka, mereka membaca quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka, mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala, mereka terkeluar dari Islam sebagaimana anak panah menembusi sasarannya, dilihat pada mata panah, pengikat mata panah, kayu panah dan sirip panah tiada sebarang kesan darah dan bulunya, sekiranya aku sempat bertemu mereka nescaya aku akan perangi mereka seperti kaum cAd, sekiranya kamu bertemu mereka maka perangilah mereka kerana memerangi mereka menjanjikan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah S.W.T. pada Hari Kiamat. Petanda hal itu ialah di kalangan mereka ada seorang lelaki hitam bertangan pendek tanpa lengan, di hujung labu lengannya terdapat lebihan daging seperti payu dara perempuan yang ada beberapa helai bulu putih dan bergerak-gerak. Tanda pengenalan mereka ialah at-tahliq (bercukur kepala) [14], mereka adalah sejahat-jahat makhluk, mereka akan diperangi oleh salah satu daripada dua kumpulan yang lebih dekat kepada kebenaran. Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Kata cAli r.a: “Jika tidak kerana bimbangkan kamu mengurangkan amalan, nescaya aku akan beritahu apa (ganjaran) yang Allah telah janjikan untuk orang yang memerangi mereka melalui lidah Nabi Muhammad s.a.w.”. Kata Abu Sa’id r.a: “Aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku mendengar (hadith) ini daripada Rasulullah s.a.w. dan aku bersaksi bahawa sesungguhnya aku bersama (Khalifah) cAli Ibn Abi Talib r.a. telah membunuh mereka, lalu beliau perintahkan agar dicari (mayat) lelaki tersebut sehingga ia djumpai dan dibawa kepadanya, sesungguhnya aku telah melihat tanda-tandanya betul sebagaimana yang telah disifatkan oleh Rasulullah s.a.w.”[15].



Ideologi Dan Ciri Khawarij



Hadith di atas mengandungi banyak penjelasan tentang tanda dan sifat puak khawarij. Maka itu Imam Muslim meletakkannya di bawah beberapa judul bab, antaranya bab berjudul: “Bab pada menyatakan (ciri-ciri) Khawarij dan sifat-sifat mereka” [16]. Namun, sebahagian daripada ciri-ciri itu adalah tanda-tanda fizikal khusus bagi puak khawarij yang muncul di zaman para Sahabat r.a. Tanda-tanda seperti berkepala botak, berkulit hitam, bertangan pendek, berjanggut lebat, bertulang pipi tinggi, bermata dalam, berdahi nonjol danberkain singkat tidak boleh dijadikan ukuran dan tidak boleh dipantulkan ke atas mana-mana individu atau golongan pada hari ini. Justeru, kertas ini akan fokus kepada beberapa ciri umum yang menunjukkan persamaan dan perkaitan antara golongan khawarij lama dan khawarij moden. Ciri-ciri tersebut ialah:



1. Suka Bertakalluf.



Takalluf bermaksud menimbulkan persoalan yang tidak perlu atau buat perkara yang susah atau memikul beban yang tidak biasa dipikul[17]. Allah S.W.T berfirman (maksudnya): "Katakanlah (Wahai Muhammad): "Aku tidak meminta daripada mu sebarang bayaran kerana menyampaikan ajaran Al-Quran ini, dan bukanlah aku dari golongan yang bertakalluf"[18] . Seorang lelaki bertanya cUmar Ibn Al-Khattab r.a. maksud perkataan abba yang terkandung dalam ayat 31 surah cAbasa, tetapi cUmar tidak melayan persoalan lelaki itu, sebaliknya beliau menjawab: “Kami dilarang daripada bertakalluf ”[19]. Para Sahabat r.a. sedia memahami maksud perkataan abba itu sebagai sejenis tumbuhan yang terdapat dalam Syurga. Meskipun mereka tidak tahu jenis dan bentuknya secara terperinci, namun kefahaman itu sudah memadai untuk memberi keyakinan terhadap Hari Akhirat dan nicmat Syurga. Justeru, mereka menahan diri daripada menyoal Nabi s.a.w. mengenai perinciannya kerana pertanyaan seumpama itu termasuk dalam ertikata takalluf yang dilarang syarac. Imam Al-Bukhari (M 256 H) ketika meriwayatkan hadith ini, meletakkannya di bawah bab berjudul:



"Bab: (Pada menyatakan) perkara yang makruh (dibenci), seperti banyak bersoal dantakalluf dengan persoalan yang tidak berfaedah serta (pada menyatakan) firman Allah S.W.T. yang bermaksud: "Jangan kamu bertanya tentang sesuatu yang jika diberitahu ia akan menyusahkan kamu" [20].



Berdasarkan judul bab Bukhari ini, dapat disimpulkan bahawa persoalan berlebihan tanpa faedah yang bersifat memaksa dan menyiksa adalah sebahagian daripada ciri-ciritakalluf yang dilarang oleh syarac. Dalam hadith lain, Al-Mughirah Ibn Syucbah r.a, berkata: "Sesungguhnya baginda s.a.w. melarang daripada bercakap begitu begini, juga daripada banyak bersoal (perkara tidak perlu)"[21]. Menjelaskan maksud hadith ini, Al-Hafiz Ibn Hajar Al-cAsqalani (M 852 H) berkata: “Oleh itu, sekumpulan ulama salaf tidak suka mempersoalkan perkara yang tidak berlaku kerana ia mengandungi maksud takalluf dan melampau serta melontar andaian tanpa keperluan dalam perkara agama” [22].



Islam jelas melarang umatnya daripada mempersoal dan mengandaikan perkara agama sehingga melebihi dan bercanggah dengan kehendak nas. Apatah lagi jika persoalan dan andaian itu hanya akan menambahkan beban kesusahan. Malangnya, perkara seperti inilah yang sangat digemari oleh golongan Khawarij sehingga ia menjadi faktor utama yang menyesatkan mereka. Lihatlah bagaimana mereka mempersoalkan pembahagian harta yang dibuat oleh Nabi s.a.w., meskipun baginda telah memberikan alasan yang begitu lojik dan islamik, namun mereka tetap mempertikaikannya. Kemudian mereka pertikaikan pula segala pendapat dan ijtihad para Khalifah Islam sehingga akhirnya mereka sanggup mengkafir, memerangi dan membunuh para Sahabat r.a. Semua itu adalah kerana sikap mereka yang suka bertakalluf dalam perkara agama. Dalam sebuah hadith, seorang perempuan bernama Ma’azah berkata:



“Aku bertanya Aishah r.a. kenapa wanita haid wajib qada (ganti) puasa tetapi tak perlu ganti solat”? Lalu beliau bertanyaku: “Adakah kamu seorang haruriyyah”? Aku menjawab: “Aku bukan dari golongan haruriyyah cuma saja aku nak tanya”. Lalu beliau menjawab: “Kami datang haid (pada zaman Nabi s.a.w.) lalu kami disuruh supaya qada puasa dan kami tidak disuruh supaya qada solat” [23].



Aishah r.a. bertanya Ma’azah tentang kecenderungan mazhabnya kerana persoalannya itu mengandungi unsur takalluf yang telah menyesatkan puak khawarij. Para Sahabat di zaman Nabi s.a.w. menerima syariat seumpama itu dengan mudah tanpa mempersoalkannya, sehingga muncullah puak khawarij yang mempersoalkannya. Lalu mereka mewajibkan perempuan haid qada solat sebagaimana qada puasa, bahkan ada yang mewajibkan kedua-dua solat dan puasa ke atas perempuan haid.



2. Menolak Konsep Taysir.



Islam adalah agama yang menekankan prinsip at-taysir (memudah dan meringankan) sebagai salah satu dasar utamanya. Nabi s.a.w bersabda (maksudnya):



“Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, tiada sesiapa yang menjadikan agama ini susah melainkan dia akan tewas. Maka hendaklah kamu perbetulkan, dekatkan, gembirakan dan mohonlah pertolongan (gunalah kesempatan) daripada perjalanan pada waktu pagi dan petang serta sedikit daripada perjalanan pada waktu awal malam”[24].



Dalam sebuah hadith lain, ketika Nabi s.a.w. mengutuskan Mucaz Ibn Jabal r.a. dan Abu Musa Al-Asycari r.a. ke Yaman, baginda berpesan kepada kedua-duanya: “Hendaklah kamu berdua permudahkan jangan menyusahkan, gembirakan jangan menakutkan, hendaklah saling bekerjasama dan jangan berbeza pendapat”[25]. Imam Al-Bukhari meriwayatkan hadith ini di bawah beberapa judul bab yang berbeza dalam kitab Sahihnya, antaranya di bawah bab berjudul: “Bab: (Pada menyatakan) sabda Nabi s.a.w: “Hendaklah kamu permudahkan jangan menyusahkan”, kerana sesungguhnya Baginda sukakan peringanan dan kemudahan untuk manusia”[26]. Disebabkan kejahilan mereka tentang sunnah, maka mereka pesimis terhadap sunnah-sunnah yang bersifat taysir, lalu mereka pertikai dan menolaknya. Dalam hal ini, Al-Azraq Ibn Qais meriwayatkan:



كنا على شاطئ نهر بالأهواز نقاتل الحرورية فجاء أبو برزة الأسلمي على فرس فصلى وخلى فرسه فانطلقت الفرس فترك صلاته وتبعها حتى أدركها فأخذها ثم جاء فقضى صلاته فجعل رجل من الخوارج يقول: اللهم افعل بهذا الشيخ ترك صلاته من أجل فرس، فأقبل فقال إني سمعت قولكم، ما عنفني أحد منذ فارقت رسول الله صلى الله عليه وسلم وإني غزوت مع رسول الله صلى الله عليه وسلم ست غزوات أو سبع غزوات وثمان وشهدت تيسيره وإني إن كنت أن أراجع مع دابتي أحب إلي من أن أدعها ترجع إلى مألفها فيشق علي إن منـزلي متراخ فلو صليت وتركت لم آت أهلي إلى الليل.



Maksudnya: “Kami sedang berada di tebing sungai Ahwaz (di Iraq) untuk memerangi puak Haruriyyah, tiba-tiba Abu Barzah Al-Aslamiyy datang menunggang kuda lalu bersolat sambil melepaskan (tali) kudanya. Tiba-tiba kuda itu meninggalkannya lantas beliau menghentikan solat dan mengejarnya sehingga dapat. Kemudian, beliau datang semula untuk menunaikan solatnya. Seorang lelaki khawarij berkata: “Ya Allah! binasakanlah orang ini, dia telah meninggalkan solatnya kerana seekor kuda”. Abu Barzah tampil seraya berkata: Sesungguhnya aku dengar kata-kata kamu, semenjak Rasulullah s.a.w. wafat tiada seorang pun yang bercakap kasar denganku, sesungguhnya aku pernah menyertai enam hingga lapan peperangan bersama Rasulullah s.a.w. dan aku telah menyaksikan (pendekatan) taysir baginda (dalam ibadat), sesungguhnya aku lebih suka pulang bersama binatang tungganganku daripada membiarkannya kembali ke tempatnya sehingga menyusahkanku, sesungguhnya jarak rumahku jauh, jika aku solat dan biarkan nescaya aku tak dapat kembali kepada keluargaku sampai ke malam”[27].



Hadith ini jelas menunjukkan bahawa golongan khawarij tidak menerima kemudahan bergerak dalam solat untuk tujuan yang mustahak, meskipun ia menepati sunnah Nabi s.a.w. dan menepati konsep taysir yang menjadi dasar penting dalam ajaran Islam.



3. Berpegang Dengan Falsafah ‘Bidah Hasanah’.



Dalam sebuah athar [28] sahih riwayat ad-Darimi, Abu Musa Al-Asycari r.a. memberitahu Ibn Mascud r.a. bahawa beliau melihat di masjid sekumpulan lelaki sedang duduk dalam halaqah-halaqah (bulatan) zikir untuk bertakbir, bertahlil dan bertasbih dengan menggunakan biji-biji batu mengikut cara yang tidak pernah dilakukan oleh Nabi s.a.w. dan juga para Sahabat r.a.. Mendengar yang demikian itu, Ibn Mascud menuju ke masjid itu lantas menegur mereka dengan katanya:



“Hitunglah amalan buruk kamu itu kerana aku jamin bahawa amalan baik kamu tidak akan hilang sedikitpun. Celakalah kamu wahai umat (Nabi) Muhammad! Alangkah cepatnya kebinasaan kamu, para Sahabat Nabi s.a.w. masih ramai, baju baginda inipun masih belum hancur dan bekas makanannya pun belum pecah. Demi yang nyawaku di TanganNya! Adakah sesungguhnya kamu berada di atas agama yang lebih baik dari agama Muhammad atau kamu sebenarnya pembuka pintu kesesatan?”.



Mendengar kata-kata Ibn Mascud itu, mereka menjawab: “Demi Allah! wahai Abu cAbd Ar-Rahman[29]! Tujuan kami hanya untuk kebaikan”. Mendengar jawapan mereka itu, lalu Ibn Mascud berkata: “Berapa ramai orang yang bertujuan baik tetapi tidak kena (caranya). Sesungguhnya Rasulullah SAW memberitahu kami: “Bahawa ada satu kaum yang membaca al-Quran tidak melebihi kerongkong mereka” [30]. Demi Allah! Aku tak tahu boleh jadi kebanyakan mereka itu adalah dari kalangan kamu”. Menjelaskan kata-kata Ibn Mascud ini, cAmr Ibn Salamah[31] berkata (maksudnya): “Kami melihat semua lelaki yang berada dalam halaqah itu menyertai puak Khawarij lalu menyerang kami pada hari peperangan An-Nahrawan” [32].



Athar ini menunjukkan bahawa amalan berzikir dalam halaqah beramai-ramai adalah amalan bidcah puak Khawarij yang memerangi para Sahabat r.a. dalam peperangan an-Nahrawan. Manakala jawapan yang mereka berikan kepada Ibn Mascud r.a. itu pula menunjukkan bahawa mereka membela amalan bidah mereka dengan falsafah ‘bidah hasanah’.



4. Membalut Kebatilan Dengan Kebenaran.



Telah disebutkan sebelum ini bahawa puak khawarij dikenali dengan beberapa gelaran seperti al-Muhakkimah dan asy-Syurah yang menggambarkan seolah-olah mereka berada di atas landasan kebenaran. Gelaran al-Muhakkimah misalnya diberi kerana slogan yang sering mereka laungkan ialah ‘tiada hukum melainkan bagi Allah’, kononnya mereka hanya berhukum dengan hukum Allah sebagaimana firmanNya yang bermaksud; “Hanya Allah jualah yang menetapkan hukum, Dia menerangkan kebenaran, dan Dialah sebaik-baik yang memberi keputusan"[33]. Begitu juga dengan gelaran asy-Syurah kerana mereka mendakwa kononnya mereka menjual diri mereka kepada Allah, sanggup berkorban nyawa keranaNya, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah membeli nyawa dan harta orang beriman dengan balasan syurga (kerana) mereka berperang pada jalan Allah…”[34].



Tidak dinafikan bahawa gelaran yang mereka pakai itu mengandungi maksud yang baik dari segi bahasanya, manakala slogan yang mereka laung-langkan itu juga adalah slogan yang benar pada asalnya. Namun, hakikatnya semua itu hanyalah gimik yang bertujuan untuk mengaburi kebatilan yang mereka lakukan terhadap khalifah dan umat Islam. Sebagaimana sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka bercakap dengan percakapan yang baik (pada zahirnya)…”. Menjelaskan hal ini cAli Ibn Abi Talib r.a. berkata: “Perkataan benar yang bertujuan batil (jahat)”[35].



5. Membaca Quran Tanpa Penghayatan Dan Keikhlasan.



Sabda Nabi s.aw (maksudnya): “…Mereka membaca al-Quran dengan lunak tetapi ia tidak melepasi halqum mereka…”. Menjelaskan maksud sabda ini, Imam an-Nawawi memetik kata-kata al-Qadi cIyad bahawa ia membawa dua pengertian, pertama: hati mereka tidak memahaminya dan mereka tidak mendapat manfaat daripada bacaan mereka dan kedua: segala amalan dan bacaan mereka tidak diangkat dan tidak diterima [36]. Imam al-Bukhari meriwayatkan hadith-hadith berkenaan Khawarij ini di bawah beberapa judul bab, antaranya: “Bab (pada menyatakan): dosa orang yang membaca al-Quran untuk riya’, mencari makan dengannya atau berbangga dengannya”[37] dan “Bab (pada menyatakan): bacaan orang jahat dan munafiq serta suara mereka dan bacaan mereka tidak melepasi halqum mereka” [38].



6. Mengkafir Dan Memerangi Umat Islam.



Sabda Nabi s.a.w. (maksudnya): “…Mereka memerangi orang Islam tetapi membiarkan saja para penyembah berhala”. Ibn Umar r.a. mengangap mereka sebagai sejahat-jahat makhluk dan beliau (Ibn Umar) berkata: “Mereka mencari ayat-ayat al-Quran yang ditujukan kepada orang kafir tetapi mereka tujukannya kepada orang beriman”[39]. Al-Qadi Abu Bakr Ibn al-Arabi membahagikan puak khawarij kepada dua kumpulan: Pertama, kumpulan yang mengkafirkan semua para Sahabat r.a. yang terlibat dalam perang Jamal, Siffin dan yang reda dengan Majlis Tahkim. Kedua, kumpulan yang mengkafirkan sesiapa saja yang melakukan dosa besar[40]. Manakala al-Hafiz Ibn Hajar menegaskan bahawa puak an-Najdah menambah pegangan takfir khawarij kepada sesiapa saja yang tidak keluar memerangi orang Islam, meskipun orang itu berpegang dengan aqidah mereka”[41].



7. Penyelewengan Aqidah



Imam Abu Hasan al-Ashcariyy (M 330 H) menegaskan bahawa pegangan tauhid Khawarij sama dengan pegangan Muktazilah dan mereka sepakat menganggap al-Quran sebagai makhluk (bukan Kalam Allah)[42]. Kemudian al-Ashcariyy huraikan pegangan tauhid Muktazilah yang berkisar pada konsep tactil dan takwil, seperti mentakwilkan sifat istiwa’(meninggi) dengan maksud istaula (memerintah) dan mengatakan Allah berada di mana-mana tempat [43]. Puak Khawarij mempunyai titik kesepakatan dari segi mengkafirkan Khalifah cUthman Ibn cAffan dan cAli Ibn Abi Talib r.a. serta semua yang terlibat dalam Perang Jamal, Siffin dan Majlis Tahkim. Sebagaimana mereka juga sepakat berpegang kepada hukum wajib melucut, memerangi dan membunuh pemimpin yang jahat meskipun kejahatan itu hanya pada kacamata mereka sahaja[44].



Pendapat Khawarij Yang Bercanggah



Selain daripada ciri-ciri di atas, puak-puak khawarij juga berpegang dengan pelbagai pendapat yang menyalahi pendapat Ahli Sunnah Wa Al-Jamaah dan saling bercanggah hatta di kalangan mereka sendiri. Antara pendapat mereka yang dilihat sebagai salah dan bercanggah itu ialah [45]:

1. Segala perbuatan hamba mengikut kehendak Allah semata-mata.

2. Menolak ijtihad dan berpegang dengan zahir al-Quran.

3. Menolak taklif sebelum diutus Rasul.

4. Menolak adanya azab kubur.

5. Harus tiada khalifah bagi umat Islam kerana mereka tidak perlu kepadanya.

6. Harus membunuh kanak-kanak dan wanita pihak yang menyalahi mereka.

7. Pelaku dosa besar adalah kafir dan kekal dalam neraka.

8. Tidak sah berkahwin dengan orang yang tidak mengkafirkan cUthman dan cAli r.a.

9. Semua orang yang menyalahi mereka adalah kafir atau musyrik.

10. Orang yang tidak berhijrah kepada mereka adalah musyrik.

11. Wajib menguji kesetiaan orang yang berhijrah kepada mereka dengan cara menyuruh orang itu membunuh tawanan. Jika tidak sanggup bermakna munafiq dan mereka akan membunuhnya.

12. Anak-anak orang yang menyalahi mereka adalah kekal dalam Neraka.

13. Menganggap negeri orang yang menyalahi mereka sebagai negeri kafir.

14. Menggugurkan hukum rejam ke atas penzina yang sudah beristeri.

15. Mengharuskan kekufuran para Nabi a.s. sebelum dan selepas mereka dilantik menjadi nabi.

16. Memotong tangan pencuri sampai ke bahu.

17. Wajib solat dan puasa ke atas perempuan haid.

18. Wajib qada solat ke atas perempuan haid sebagaimana qada puasa.

19. Mendakwa ayat 204 surah al-Baqarah khusus untuk Ali r.a.

20. Mendakwa ayat 207 surah al-Baqarah sebagai khusus untuk cAbd ar-Rahman Ibn Muljim (pembunuh Ali r.a.).

21. Penyokong mereka tidak akan masuk neraka Jahannam, jika berdosa mereka akan diazab dengan azab selain neraka Jahannam.

22. Sebahagian mereka menggugurkan hukum hudud bagi peminum arak, manakala sebahagian yang lain pula mengenakan hukuman yang sangat berat.

23. Melakukan dosa kecil secara berterusan adalah suatu kesyirikan bagi yang tidak menyokong mereka, tetapi bagi para penyokong mereka ia tidak pula dianggap syirik meskipun melakukan dosa besar.

24. Mengharuskan at-taqiyyah.

25. Harus melantik wanita sebagai Khalifah Agung.

26. Harus berkahwin dengan anak perempuan cucu lelaki (cicik) dan anak perempuan anak saudara lelaki.

27. Sifat munafik itu hanya khusus bagi golongan yang disebutkan dalam al-Quran.



Antara Ahbash Dan Khawarij



Puak Ahbash[46] pimpinan Abdullah al-Harari al-Habsyi yang muncul dan berpusat di Lubnan dilihat antara kelompok semasa yang paling banyak mempunyai persamaan dengan ciri-ciri puak Khawarij. Persamaan itu dilihat dari beberapa aspek, antaranya:



1. Kemunculan puak Ahbash di Lubnan ketika negara itu berada dalam konflik perang saudara sama seperti puak Khawarij dahulu yang muncul ketika umat Islam berpecah belah. Nabi s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mereka keluar (menentang khalifah) ketika orang ramai dalam keadaan berpecah belah”. Sebagaimana puak Khawarij mengambil kesempatan untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika keadaan umat Islam di zaman khalifah Ali r.a. berpecah belah, maka demikianlah juga puak Ahbash mengambil peluang untuk menyebarkan kesesatan mereka ketika Negara Lubnan berada dalam keadaan huru-hara akibat perang saudara.



2. Mengaburi masyarakat dengan slogan dan gelaran indah, seperti gelaran ahli sunnah wa al-jamaah bagi puak mereka, gelaran al-allamah al-muhaddith (ulama hadith) bagi guru mereka al-Harari dan gelaran samahah asy-shiekh (gelaran mufti) bagi tokoh mereka yang bernama Nizar al-Halabi. Mereka juga mengaburi para pelajar Islam yang belajar di luar Negara seperti di Switzerland dengan dakwaan kononnya mereka adalah wakil Universiti al-Azhar Mesir.

3. Mengeluarkan fatwa-fatwa yang bercanggah dengan nas dan pendapat ulama muktabar, seperti boleh melihat, bercampur dan bersalam dengan wanita bukan mahram, boleh bertabarruj dan memakai wangi-wangian bagi wanita yang keluar rumah tanpa izin suami, boleh makan riba dan boleh bersolat dengan pakaian bernajis.



4. Mengatakan al-Quran itu adalah lafaz Jibril bukan Kalam Allah S.W.T.



5. Menafi atau mentakwil nas-nas Sifat Allah S.W.T.



6. Beriktiqad bahawa segala perbuatan hamba adalah mengikut kehendak Allah semata-mata.



7. Mengamal dan menggalakkan bidah seperti memohon hajat pertolongan di kubur, amalan tasauf sesat dan sambutan maulid.



8. Mencela para Sahabat r.a. terutamanya Muawiyah, Khalid Ibn al-Walid dan Aisyah r.a.



9. Mengkafir dan memerangi para ulama yang tidak sehaluan dengan mereka seperti Sheikh Islam Ibn Taimiyyah, Ibn al-Qayyim, Imam az-Zahabi, Muhammad Abdul Wahab, Nasiruddin Albani, Sayyid Sabiq, Sayyid Qutb, Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi, Muhammad al-Ghazali, Yusuf al-Qaradawi, Muhammad Said Ramadan al-Buti dan lain-lain. Mereka juga telah mengkafir dan memerangi para ulama Lubnan seperti Sheikh Subhi Saleh dan Faisal Maulawi sehingga ramai yang terpaksa melarikan diri ke Mesir dan Arab Saudi. Bahkan mereka telah mengkafir dan membunuh Mufti Lubnan yang bernama Hassan Khalid.









Kesimpulan



Berdasarkan fakta-fakta di atas, maka dapat disimpulkan bahawa sesiapa sahaja hari ini yang mempunyai ciri dan sifat seperti khawarij, maka dialah yang layak untuk digelar khawarij moden. Demikian juga sebarang perkumpulan yang memiliki dasar dan pegangan yang sama dengan dasar dan pegangan khawarij, maka merekalah yang layak untuk digelar puak khawarij moden. Semakin banyak aspek persamaan, maka semakin dekatlah mereka dengan golongan tersebut. Meskipun mereka juga menyatakan kebencian terhadap Ibn al-Kawwa’, Ibn Muljim atau tokoh-tokoh khawarij lain dan meskipun mereka tidak pernah mengaku mereka khawarij, namun jika ideologi dan cirinya sama, maka mereka tetap khawarij. Ya, mereka adalah khawarij dari segi amalan dan pegangan, meskipun mereka bukan khawarij dari segi nama. Nama khawarij tentu tidak wujud pada mana-mana jamaah pada hari ini, kerana tiada sesiapa pun yang begitu bodoh untuk memakai nama kumpulan yang telah disepakati sebagai sesat. Tetapi amalan dan pegangan khawarij mungkin wujud sama ada dalam konteks individu atau kumpulan. Justeru, kertas ini mengajak sekelian kita supaya bermuhasabah agar kita dapat menjauhkan diri, keluarga dan masyarakat daripada terpalit dengan sebarang ciri dan ideologi khawarij yang sesat dan menyesatkan itu.







[1] Kertas dibentangkan dalam Daurah Ta’lim Sunnah Siri II, anjuran INTIS Consultant & Training di Surau al-Muhajirin, Taman Sri Ukay, Kuala Lumpur pada 20 September 2008.

[2] Bermaksud: Orang yang berhukum, kerana mereka mendakwa berhukum kepada Allah S.W.T.

[3] Bermaksud: Orang yang menjual, kerana mereka mendakwa menjual nyawa kepada Allah S.W.T.

[4] Nisbah kepada perkampungan al-Harura’ di Iraq yang menjadi tempat perkumpulan mereka.

[5] Nama ini tersebut dalam kitab Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin.

[6] Kata jama’ bagi an-Nasib yang bermaksud: Orang yang sangat kuat penentangannya.

[7] Bermaksud: Orang yang keluar.

[8] Al-Ashcariyy, Abu al-Hasan cAli Ibn Ismacil (M 330 H), Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 206. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, t.th, hal: 103.

[9] Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, Maktabah an-Nahdah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1969, 1: 167. cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[10] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[11] Muhammad Muhyiddin Abd al-Hamid, Hasyiah Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 167.

[12] cAbd Al-Qahir Ibn Tahir al-Baghdadi, Al-Farq Baina Al-Firaq, Al-Maktabah Al-cAsriyyah, Beirut, Lubnan, 1995, hal: 72.

[13] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[14] Kata al-Kirmani: “Golongan salaf tidak mencukur rambut mereka kecuali untuk ibadat haji dan umrah atau kerana keperluan, sedangkan puak khawarij menjadikannya suatu tabiat sehingga ia menjadi syiar dan identiti bagi mereka”. Lihat: Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 13:537.

[15] Al-Bukhari, No: 3166, 3414, 3415, 4094, 4770, 6531, 6532, 6533, 6995, 7121, 7122, 7123 dan Muslim, No: 1064-1066.

[16] Muslim, 2:740, No: 1064.

[17] Dr. Ibrahim Anis dan rakan-rakan, Al-Mucjam Al-Wasit, Mujamma Al-Lughah Al-cArabiyyah, Kaherah, Mesir, t.th, hal: 795.

[18] Al-Quran, Sad, 38: 86.

[19] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, 6: 2658, No: 6863.

[20] Al-Quran, Al-Maidah, 5: 101.

[21] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari (bersama Fath Al-Bari), Dar Al-Macrifah, Beirut, t.th, 11: 306, No: 6473.

[22] Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 11: 307.

[23] Al-Bukhari, No: 315 dan Muslim, No: 335.

[24] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Beirut, 1987, 1: 23, No: 39.

[25] Ibid, 3: 1104, No: 2873.

[26] Ibid, 5: 2269, No: 5773.

[27] Al-Bukhari, No: 1153 dan 5776.

[28] Riwayat berkenaan amalan para Sahabat RA.

[29] Abu cAbd Ar-Rahman ialah kuniyah bagi Ibn Mascud RA.

[30] Al-Bukhari, Muhd. Ibn Ismail, Sahih Al-Bukhari, Dar Ibn Kathir, Al-Yamamah, Beirut, 1987, No: 3166, 3415, 4094, 4770, 4771, 6531, 6532, 6995 dan 7123. Muslim Ibn Al-Hajjaj, Sahih Muslim, Dar Ihya’ At-Turath Al-cArabiyy, Beirut, 1991, No: 1063, 1064 dan 1066.

[31] Seorang tabien thiqah dan juga murid kepada Ibn Mascud yang meriwayatkan athar tersebut.

[32] Ad-Darimi, cAbd Allah Ibn cAbd Ar-Rahman, Sunan Ad-Darimi, Dar Al-Kitab Al-cArabi, Beirut, Lubnan, 1407, 1: 79, No: 204. Sanadnya sahih. Lihat: Ad-Durar As-Saniyyah, atas talian: http://www.dorar.net./mhadith.asp.

[33] Al-Quran, Al-Ancam, 6: 57.

[34] At-Taubah, 9:111.

[35] Muslim, Dar Ihya’ at-Turath al-Arabiyy, Beirut, 1991, 2:749, No: 1066.

[36] An-Nawawi, Yahya Ibn Sharaf, al-Minhaj Fi Sharh Sahih Muslim Ibn al-Hajjaj, al-Matbacah al-Misriyyah, Kaherah, Mesir, 1929, 7:159.

[37] Al-Bukhari, Dar al-Macrifah, 9:99.

[38] Al-Bukhari, Dar al-Macrifah, 13:535.

[39] Al-Bukhari (secara ta’liq dengan lafaz jazam), Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 12:282.

[40] Al-cAsqalaniyy, Ahmad Ibn cAli Ibn Hajar, Fath al-Bari Bi Sharh Sahih al-Bukhari, Dar al-Macrifah, Beirut, t.th, 12:285.

[41] Ibid, 12:285.

[42] Al-Ashcariyy, Abu al-Hasan cAli Ibn Ismacil (M 330 H), Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 203.

[43] Ibid, 1: 235-237.

[44] cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 103.

[45] Al-Ashcariyy, Maqalat al-Islamiyyin Wa al-Ikhtilaf al-Musallin, 1: 167-212 dan cAbd Al-Qadir Syaibah Al-Hamd, Al-Adyan Wa al-Firaq Wa Al-Mazahib Al-Mucasarah, hal: 108, 112, 118, 126, 133, 137 dan 144.

[46] Fakta-fakta berkenaan puak Ahbash ini dirujuk dalam Bank Ahbash, atas talian: http://bankahbash.blogspot.com/